Sudah dikenali ramai bahawa syarikat kami menjalankan
tanggungjawab dalam melaksanakan ibadat qurban dan aqiqah selain dari membina
modal insan dan ekonomi umat di merata tempat. Atas dasar mengembangkan lagi
kesedaran ilmu tentang hukum aqiqah dan qurban maka equrban.com berkongsi ilmu
tentang hukum aqiqah yang akan diterangkan dalam beberapa silsilah. Artikel ini
adalah bahagian 1 dari silsilah tersebut. Hukum qurban pula akan menyusul
kemudian insyaAllah.
Dalam ilmu fiqh (perundangan Islam) aqiqah juga disebut
nasikah dan zabihah. Makna aqiqah ialah putus, nasikah pula ialah ibadat dan
zabihah pula bermaksud sembelihan. Jika digabung semua makna tersebut ianya
bermaksud sembelihan yang dikategorikan sebagai ibadat yang diputuskan
urat-urat sembelihan.
Aqiqah ialah suatu ibadat berbentuk penyembelihan binatang
tertentu sebagai tanda gembira dan bersyukur kerana kelahiran bayi.
Binatang yang disembelih untuk tujuan tersebut ialah unta,
lembu atau kambing tetapi kambing adalah afdal dan lebih bagus.
ibadat aqiqah anak lelaki atau anak perempuan
Bagi anak lelaki disembelih 2 ekor kambing atau 2 bahagian
dari lembu atau unta. Bagi anak perempuan pula seekor kambing atau 1 bahagian
dari lembu atau unta. Untuk lembu dan unta dibenarkan untuk berkongsi 7
bahagian.
Hukum aqiqah dalam mazhab Asy-Syafi’e adalah sunnat
muakkadah iaitu sunat yang hampir kepada wajib. Tanggungjawab aqiqah dikenakan
ke atas orang yang wajib memberi nafqah kepada anak yang diaqiqahkan seperti
bapa.
Dalil pensyari’atan aqiqah ialah perbuatan Nabi SAW dan juga
para sahabat beliau. Antara dalil tersebut ialah hadis yang diriwayatkan oleh
al-imam Al-Bukhari dalam kitab Sahihnya:
عن سليمان بن عامر
الضَّبِّي – رضي الله عنه
– قال: سمعت رسول الله
– صلى الله عليه وسلم
-، يقول: ” مع الغلام
عقيقته، فأهريقوا عنه دماً، وأميطوا
عنه الأذى
Yang bermaksud: “bersama anak yang dilahirkan ada aqiqahnya
yang perlu dilaksanakan maka sembelihlah bagi pihaknya dan buanglah kotoran
rambut dengan mencukur rambut anak itu”.
Waktu untuk menaqiqahkan anak ialah bermula dari sempurnanya
kelahiran anak hingga baligh anak tersebut. Jika aqiqah dilakukan sebelum
sempurna kelahiran maka ia dianggap sembelihan biasa yang boleh dimakan tetapi
bukan aqiqah.
Penyembelihan binatang untuk aqiqah dilaksanakan pada hari
ketujuh dari tarikh kelahiran bayi. Tetapi jika tidak dapat dilaksanakan pada
hari ketujuh maka boleh juga pada hari yang ke 17 atau 21. Tetapi jika masih
tidak dapat laksanakan maka boleh dilakukan pada bila-bila masa yang sesuai
dengan kemampuan ibubapa bayi.
Jika telah baligh anak tersebut sedangkan aqiqah untuknya
belum disempurnakan maka tuntutan ke atas ayahnya sudah tidak berjalan
lagi, di waktu itu bolehlah si anak
melaksanakan aqiqah untuk dirinya sendiri atau boleh juga si ayahnya
melaksanakan sebagai melangsaikan apa yang belum dia selesaikan sebelum ini.
Namun begitu, hari yang paling afdhal untuk menjalankan
aqiqah ialah pada hari ketujuh kelahiran anak. Contohnya, jika lahir pada 1
haribulan maka aqiqahnya pada 7 haribulan.
Dalil aqiqah pada hari ketujuh ialah hadis yang diriwayatkan
ole imam Abu Daud dalam Sunan beliau:
عن سمرة – رضي الله
عنه -، قال: قال
رسول الله – صلى الله
عليه وسلم -: ” الغلام مرتهن بعقيقته،
يذبح عنه يوم السابع،
ويسمى ويحلق رأسه”.
Maksudnya: “anak yang dilahirkan tergadai dengan aqiqahnya
(bakti anak kepada ibubapaya bergantung kepada aqiqah), maka disembelih
aqiqahnya pada hari ketujuh dan pada hari itu juga diberi nama dan dicukur
kepalanya”.
Setakat ini dahulu penerangan tentang hukum aqiqah bahagian
1.
Jika nak tempah kambing akikah klik link ni www.wasap.my/601115060817